NASIONAL

Patriot tawar jadi ejen, pantau pengundian awal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 18 APR: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menawarkan diri menjadi ejen tempat mengundi (polling agent) serta membantu memantau pelaksanaan kaedah pengundian semasa hari pengundian awal, pada 5 Mei nanti.

Presidennya, BG Dato’ Mohamed Arshad Raji (B) berkata, pihaknya membuat keputusan untuk terlibat secara aktif dalam pengundian awal itu ekoran permintaan daripada rakyat Malaysia

“Kami ingin melihat ia (pengundian) dijalankan secara adil untuk semua parti politik dan calon bertanding. Pada 5 Mei nanti, ahli-ahli kami akan hadir di sejumlah kem tentera dan polis di seluruh negara bagi tujuan pemantauan.

“Kami juga ingin meyakinkan semua pengundi khususnya penjawat awam, tentera dan anggota polis, bahawa undi anda adalah rahsia.

“Ia kerana hak anda seperti termaktub di dalam perlembagaan untuk mengundi mana-mana parti atau calon disukai. Melalui peraturan pengundian dan proses mengeluarkan slip pengundian kepada setiap pengundi, ia juga adalah mustahil untuk undian anda dikesan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tiada siapa boleh mengundi bagi pihak anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat serta pasangan mereka, namun sekiranya sesiapa berbuat demikian, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, Patriot mengajak semua rakyat Malaysia berkongsi visi membina sebuah negara harmoni, makmur dan progresif.

“Bagi semua rakyat Malaysia telah daftar mengundi, jadilah patriot Malaysia sebenar. Laksanakan tanggungjawab patriotik anda keluarlah mengundi. Malaysia memerlukan anda.

“Ia kerana banyak perlu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini. Kita perlu menyatukan semula masyarakat kita, membina semula negara kita, dan menjadikan Malaysia unggul sekali lagi,” katanya.

 


Pengarang :