BERITA UTAMASELANGOR

Pegang budaya penuhi aspirasi negeri pintar – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 APR: Rakyat diminta supaya terus berpegang kepada akar budaya dan nilai warisan bagi memenuhi aspirasi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar dan maju ke hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat perlu memperkaya dan memperkemas jati diri supaya dapat melahirkan lebih ramai generasi millennial yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi.

“Penekanan aspek akar budaya dan nilai warisan tidak boleh sama sekali dipandang enteng kerana ia adalah satu elemen penting bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Tambahan pula, ufuk intelektual harus diperluaskan supaya dapat menggarap pemikiran tinggi meliputi semua aspek agama, kebudayaan, kesusasteraan dan politik,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, setiap individu harus kental dan bersiap siaga ketika menghampiri revolusi industri 4.0 yang penuh dengan cabaran.

Katanya, menjadi satu keperluan khususnya golongan millennial untuk mengumpul ilmu kemahiran teknologi sebanyak mungkin dan membentuk keyakinan diri secara lebih mendalam.

“Kita akan pastikan Selangor terus unggul berada di peringkat tertinggi dalam persaingan serantau mahupun global,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, karya terbitan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berjaya mengangkat minda dan pemikiran rakyat.

Malah, katanya, ia menjadi dorongan berterusan menuju ke arah pemodenan dan globalisasi terutama untuk memperjuangkan demokrasi negara, pada hari ini.

“Pesta buku kali ini menjadi wahana penyebaran idea baru supaya dapat menyuburkan wacana intelektual yang lebih intensif dan komprehensif, selain turut memajukan tradisi keilmuan di Selangor,” katanya.


Pengarang :