SELANGOR

Pegawai PKM Bukit Lanjan bergilir lap air mata

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Tujuh tahun berkhidmat sebagai dua Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan memberi seribu keinsafan kepada Isnaini Mohd Kassim dan Ain Nuha Badrulamin.

Masakan tidak, sepanjang bertugas mereka menempuhi pelbagai pengalaman suka dan duka dalam usaha untuk membantu golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.

Antara peristiwa paling menyentuh hati, tatkala menerima kunjungan sebuah keluarga yang menjadikan kereta mereka sebagai tempat tinggal di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh pada pertengahan Mac lalu.

Mengimbau kembali saat itu, beliau berkata, pada asalnya kedatangan keluarga itu bertujuan mendapatkan bantuan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong untuk membuat permohan MyKad.

“Faizal adalah warganegara Malaysia tetapi disebabkan kecuaian pihak tertentu taraf kewarganegaraan itu dinafikan untuk Faizal dan menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan yang lebih baik.

“Pada mulanya dia naik pejabat berdua, anak-anak ditinggalkan dalam kereta di bawah dan bila saya dapat ‘tangkap’ inilah keluarga yang viral itu, terus saya tanya mana anak-anak?

“Dia jawab ada di bawah kerana risau ganggu kerja kami. Sedihnya anak kecil, kami minta dia bawa anak-anak naik atas dan kami hidangkan makanan yang ada, selera tengok anak-anak itu makan,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, pada awalnya Faizal agak keberatan menceritakan kesusahan beliau dan keluarga kerana tidak mahu disalah tafsir sebagai seorang yang suka meminta-minta.

Bagi Faizal, dia lebih suka berusaha sendiri memperbaiki kehidupan beliau kepada lebih baik dengan menggunakan tulang empat keratnya.

Bagaimanpun katanya, selepas dipujuk akhirnya Faizal dan isteri menceritakan kisah sebenar kehidupannya.

“Sedih sangat tengok keadaan anak-anak pasangan ini, tak tertahan air mata saya dan Ain Nuha bergilir masuk bilik belakang untuk lap air mata kerana kami dah jadi ibu, jiwa sensitif bila tengok keadaan anak-anak tak terurus dan masalah kesempitan hidup.

“Namun kami rasa kagum kerana mereka tidak suka meminta-minta tetapi berusaha mengumpul duit upah kerja sebagai pencuci kereta hingga cukup untuk menyewa rumah untuk keluarganya.

“Kami cuba daftarkan mereka dengan inisiatif yang Kerajaan Negeri ada seperti Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Peduli Sihat dan untuk bantuan rumah kami panjangkan isu ini kepada ADN kami untuk bantuan deposit, YB dengan terbuka setuju beri bantuan,” katanya lagi.

Katanya, petugas PKM Bukit Lanjan, S. Sivalingam kemudiannya bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dengan segera dan dalam masa dua minggu saudara Naveen dapatkan rumah untuk mereka.

SelangorKini difahamkan pada masa ini keluarga terbabit telah pun berpindah masuk ke rumah itu.


Pengarang :