NASIONAL

Pelepasan cukai GST kepada ECRL tidak berasas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 APR: Pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap kontraktor Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC) yang kononnya membantu mengurangkan kos pembinaan adalah tidak realistik sama sekali.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia tindakan tidak bertanggungjawab dan memalukan kerana pelaksanaan di bawah projek mega itu pasti memberi margin keuntungan besar kepada syarikat terbabit.

Katanya, isu melibatkan GST amat sensitif kepada rakyat tempatan, khususnya penduduk kampung memandangkan ia sesuatu perkara yang tidak harus diperkotak-katikkan.

“Umum sedia maklum, GST yang membebani rakyat telah menjurus kepada risiko kurangnya kuasa beli rakyat, tetapi kenapa mengecualikan cukai GST kepada CCCC?.

“Kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional sebaliknya pernah menyatakan, kalau tiada GST negara akan bankrap, maka cukai dilaksanakan. Malangnya, tanpa mengenakan cukai kepada syarikat besar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan, Solat Jumaat dan Jamuan Rakyat, di Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, China Communications Construction Company (CCCC) bukan sahaja mendapat projek tanpa sebarang tender, bahkan turut diberi kebenaran untuk membawa masuk pekerja-pekerja dari China.

“Sudah dapat tender dan bawa masuk pekerja dari China, sekarang mahu beri pengecualian cukai GST pula?.

“Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan lebih mementingkan tauke-tauke besar dan tidak melihat kepentingan rakyat di bawah,” katanya.

Terdahulu, media tempatan baru-baru ini melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL dari China Communications Construction Company (CCCC) setelah didedahkan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC kerana ia mengambil kira projek ECRL yang membabitkan dua kerajaan dan berkepentingan awam.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin berharap supaya rakyat menggunakan hak dan kuasa seperti terkandung dalam perlembagaan, untuk menolak kepimpinan Umno-Barisan Nasional bersama pihak yang bersekongkol dengan parti berkenaan.

=EZY=


Pengarang :