SELANGOR

Pembahagian Kerusi DNS selesai, logo KEADILAN ketakutan Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APR: Pembahagian kerusi membabitkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PAKATAN) selesai sebelum pembubaran Dewan Negeri Selangor, Isnin ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan memastikan calon PAKATAN bertanding di semua kerusi DUN.

“Alhamdulillah pembahagian kesemua kerusi selesai, kita tidak pernah ada pertikaian sesama parti komponen sebaliknya hanya perbincangan.

“Kita akan pastikan semua kerusi DUN ditandingi sepenuhnya dan tidak akan membiarkan Umno menang tanpa bertanding,” katanya ketika ditemui.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Masjid dan Surau negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Pada masa sama, mengulas isu penggunaan logo rasmi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), beliau berkata ia mendapat sokongan daripada pihak DAP.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, pemimpin DAP seperti Penasihat, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng mendokong kuat penggunaan logo itu atas dasar perpaduan.

“Malam tadi saya bersama Kit Siang dan Guan Eng pada siri kemuncak Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, Johor Bharu, mereka menyatakan sokongan kuat bagi penggunaan logo berkenaan,” katanya.

Malah, katanya, tindakan Pakatan menggunapakai logo KEADILAN itu langsung tidak memberikan kesan tidak baik kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan sebaliknya ia jelas membimbangkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Walaupun isu itu digunakan lawan untuk menyerang pembangkang, namun kita tetap kuat dan bersatu meskipun pelbagai cara digunakan mereka untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan.

“Alhamdulillah, kita bertekad dan bersatu hati untuk menggunakan satu logo itu yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah politik,” katanya.

Beliau turut memuji kesanggupan parti DAP yang berusia 60 tahun berjaya membentuk kerajaan atas kesanggupan mereka menggunakan logo KEADILAN.

=EZY=

 


Pengarang :