BERITA UTAMASELANGOR

Pembangunan Pasar MPAJ realisasi gagasan Smart Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 APR: Pembangunan pasar MPAJ yang baharu di Kuala Ampang di sini, dilengkapi kemudahan moden selaras hasrat Kerajaan Negeri menjayakan agenda Smart Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pasar dibina dengan kos RM3.7 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu bagi menggantikan pasar lama yang dibina kira-kira 30 tahun lalu.

“Ia dibangunkan dengan teknologi hijau untuk menjamin kebersihan dan memberi ruang lebih selesa kepada peniaga juga pengunjung.

“Antara kemudahan baharu disiapkan ialah Waste Water Treatment Plant (WWTP) dan Stationary Refuse Compactor (SRC) yang mana ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan Selangor sebagai ‘smart state’,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui sistem WWTP dan SRC, operasi di pasar itu menjadi lebih sempurna serta menjimatkan kerana air sisa pasar dan sampah dibuang akan diproses terlebih dahulu sebelum dipindah keluar.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap kemudahan moden disediakan itu memberi keselesaan kepada 59 peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan.

“Saya melihat ia satu keperluan yang mendesak dan gembira kerana ia telahpun disiapkan,” katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain; Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib; ADN Teratai, Tiey Way Keng dan mantan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

=EZY=


Pengarang :