NASIONAL

Pembubaran tak mengejutkan, Bukit Lanjan bersedia awal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APR: Pengumuman pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa esok seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukanlah sesuatu mengejutkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, pihak beliau sudah melakukan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Di Bukit Lanjan, kita sudah siap sedia sejak Februari lagi dan bilik gerakan kita juga antara yang paling awal dirasmikan oleh Dato Seri’ Mohamed Azmin Ali.

“Kita tidak sabar dan mudah-mudahan pada PRU-14 nanti rakyat akan beri sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelas Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu, pengumuman pembubaran itu juga sudah dijangka ekoran penggal ke-13 semakin hampir ke penghujung.

Terdahulu, dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, Najib mengumumkan Parlimen bagi Penggal Ke-13 dibubarkan esok selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Agung, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Muhammad V.

Sementara itu, di Selangor, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin dalam Istiadat Pembubaran Dewan Negeri Selangor.


Pengarang :