GLOBAL

Pemimpin Semenanjung Korea ikrar akhiri program nuklear

SEOUL 28 APR: Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan berikrar untuk bekerjasama ke arah misi menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea, semalam tetapi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan mengekalkan tekanan ke atas Pyongyang menerusi sekatan sebelum pertemuan tidak dijangka dengan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, beberapa minggu lagi.

Pertemuan antara Jong Un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae In berjaya melahirkan imej dramatik dan deklarasi kebaikan namun masih kekurangan dalam beberapa komitmen spesifik serta gagal menjelaskan persoalan utama sama ada Pyongyang benar-benar bersedia menghentikan peluru berpandu nuklear yang kini menjadi ancaman terhadap AS.

Pada pertemuan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara Semenanjung Korea itu selama lebih enam dekad, Jong Un dan Jae In mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan AS dan China tahun ini untuk menamatkan secara rasmi Perang Korea bagi memeterai perjanjian damai.

Dalam acara yang dihiasi dengan senyuman, saling bersalaman dan berpelukan, kedua-dua pemimpin itu turut berjanji meneruskan pengurangan senjata secara berperingkat, menghentikan tindakan keganasan, mengubah sempadan kepada zon damai dan mengadakan lebih banyak pertemuan bersama negara luar termasuk AS.

“Kami berikrar di hadapan 80 juta rakyat dan seluruh dunia bahawa tiada lagi peperangan di Semenanjung Korea dan era baru keamanan telah muncul,” kata kedua pemimpin terbabit.

Walaupun mereka saling sepakat dalam meneruskan misi semenanjung bebas nuklear, kedua-duanya masih tidak menjelaskan kaedah pelaksanaan atau maksud sebenar misi berkenaan.

Sementara itu di Washington, Trump ketika bercakap pada sidang media bersama Canselor Jerman Angela Merkel berkata, pertemuan bersama Jong Un nanti diharapkan mampu memberi keputusan produktif.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :