NASIONAL

Pemuda Harapan: Najib, henti sandiwara konflik Palestin untuk raih undi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 APR: Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak ditegaskan untuk henti bersandiwara kononnya menjadi pejuang Palestin dan umat Islam pada masa yang sama menuduh Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menghiraukan konflik Tebing Barat itu.

Ketua Pemuda HARAPAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan Najib langsung tidak menggambarkan seorang pejuang Palestin yang ikhlas, malah dilihat mempergunakan isu tersebut di laman media sosialnya untuk meraih undi.

“Akhbar the Times of Israel sendiri telah melaporkan bahawa walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mengaku memihak kepada Palestin, tetapi hubungan perdangan di antara dua negara ini terus meningkat saban tahun.

“Di dalam artikel Malaysia favors Palestinians but buys from Israel, ia menyatakan bahawa mengikut Biro Perangkaan Israel, pada tahun 2013, nilai perdagangan di antara dua negara tersebut mencecah USD 1.529 bilion, peningkatan dua kali ganda daripada tahun 2012, manakala ia meningkat lagi 27 peratus pada awal 2014.

“Hubungan ini tidak dinyatakan jelas dalam laporan perdangan luar negara kita kerana Israel dikategorikan di dalam “lain-lain”, tetapi hubungan ini bukanlah satu rahsia,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama sejak lebih 50 tahun membenarkan satu delegasi Israel yang diketuai bekas Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet, memasuki Malaysia pada awal tahun ini.

Selain itu, Najib juga gagal menyatakan pendirian ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini walaupun bermegah dapat pertemuan empat mata dengan presiden paling pro-Zionis dalam sejarah Amerika itu.

Pada masa sama Nik Nazmi turut menegaskan, konflik Palestin dan Rohingya merupakan isu antarabangsa yang menjadi fokus HARAPAN dan telah pun dimasukkan dalam Buku HARAPAN melalui Janji 59.

“Kami akan memimpin usaha menyelesaikan konflik Palestin dan Rohingya dengan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai penyelesaian muktamad.

“Malah pemimpin utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga masih disegani sebagai pemimpin Islam di persada dunia dan telah lama memperjuangkan hak Palestin di peringkat tertinggi,” katanya.

=EZY=


Pengarang :