Selangorkini
NASIONAL

Pemuda PAKATAN lancar kit kempen PRU14

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 30 APR: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) mendahului usaha menggerakkan kempen positif, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menawarkan kit kempen lengkap untuk pengundi menilai kualiti ditawarkan calon anak muda.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kit yang boleh didapati di Facebook Pemuda Harapan itu merangkumi manifesto, Tawaran Anak Muda, infografik calon, video animasi dan ‘live update’ perjalanan kempen calon, termasuk ceramah serta video ‘walkabout’.

“Keperluan dan kepentingan golongan muda di negara ini sentiasa menjadi keutamaan dasar PAKATAN, justeru Pemuda PAKATAN beriltizam memenuhi aspirasi anak muda dengan tawaran yang akan membantu mereka menghadapi cabaran masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Katanya, komitmen PAKATAN terhadap dasar itu diperkukuh dengan perwakilan lebih 70 calon berusia 40 tahun ke bawah bagi kerusi Perlimen dan DUN seluruh negara.

Nik Nazmi berkata, ia membuktikan PAKATAN mengutamakan suara anak muda dalam pembaikan polisi negara yang diketengahkan Kerajaan PAKATAN.

“Ini berbeza dengan Barisan Nasional yang tidak memberikan ruang secukupnya kepada anak muda, malah gagal menjaga kebajikan serta menjamin kesejahteraan kehidupan generasi akan datang,” katanya.


Pengarang :