SELANGOR

Penduduk perlu tahu beza jenis sampah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menuntut penduduk di daerah itu bijak membezakan kategori sampah pukal dan domestik dalam usaha mengatasi lambakan sampah haram.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, sampah domestik meliputi sisa makanan daripada penduduk atau perumahan manakala sampah pukal adalah barangan selain sisa makanan seperti perabot, tilam, tilam, barang elektronik, tayar buruk, batu, kayu atau pokok dan yang seumpamanya.

“Mereka perlu faham sampah pukal tidak termasuk dalam skop kutipan sampah MDKL.

“Hal ini kerana berlakunya lambakan sampah sarap terdiri daripada sisa sampah pukal selain sisa domestik menyebabkan tong yang disediakan MDKL sentiasa tidak mencukupi walaupun tong berkapasiti 1,100 liter sudah disediakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, sekiranya terdapat permintaan daripada penduduk kampung atau orang awam yang ingin membuang sampah pukal, mereka boleh menghubungi MDKL untuk perkhidmatan tong RoRo dengan bayaran RM200 seunit dan boleh dikongsi bersama jiran memerlukan.

Selain itu, kutipan sampah domestik di kampung tradisi juga dilaksanakan tiga kali seminggu iaitu hari Selasa, Khamis dan Sabtu bagi kawasan 1 manakala Isnin, Rabu dan Jumaat bagi kawasan 2.

Mengulas mengenai isu beberapa ahli majlis merungut apabila terdapat isu perparitan tidak diselenggarakan dengan baik, beliau mengambil maklum dan segera memanjangkan isu tersebut kepada pihak terlibat.

“Difahamkan kontraktor dilantik tidak masuk buat kerja longkang sekali gus memberi masalah kepada ahli majlis berdepan dengan rungutan penduduk.

“Sama juga dengan isu sampah, ahli majlis juga ditunding dengan hal longgokan sampah haram di kawasan kampung walaupun lokasi tong sampah sudah dipersetujui oleh kepimpinan kampung,” katanya.


Pengarang :