NASIONAL

Pengasas Habib Jewels meninggal dunia pada usia 92 tahun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Pengasas syarikat pembuatan dan penjualan barangan kemas Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif, meninggal dunia di sebuah hospital swasta, kira-kira jam 4.26 pagi tadi.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau yang berusia 92 tahun itu dikatakan tidak sedarkan diri sejak dua minggu lalu selepas mengalami kecederaan pada kepala dipercayai akibat terjatuh di rumahnya.

Jenazah beliau akan disembahyangkan di Masjid Kapitan Keling selepas solat zuhur hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak.

Allahyarham memulakan perniagaan barang kemas secara kecil-kecilan pada 1949.

Namun pada 1958, beliau mula mengasaskan kedai pertamanya jenama Habib Jewels dengan bermodalkan RM3,800 yang kini diwarisi oleh anaknya, Datuk Seri Meer Sadik.

Pada 1987 beliau membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, Semua House, dan mula menghasilkan produk sendiri daripada bahan mentah kepada barangan siap dan terus mengembangkan lagi perniagaannya selepas itu.

=EZY=


Pengarang :