EKONOMINASIONAL

Pengerusi ANAK: Malapetaka bermula bila FGV disenaraikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 12 APR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menyifatkan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 adalah detik permulaan malapetaka menimpa peneroka dan FELDA sendiri

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pemegang saham FGV yang terdiri daripada peneroka dan kakitangan FELDA juga menanggung kerugian apabila saham FGV semalam jatuh kepada RM1.90 berbanding RM4.45 ketika dilancarkan.

“Tak cukup dengan pajakan tanah 99 tahun, FGV juga membeli kepentingan dalam syarikat besar FELDA iaitu Felda Holdings dengan 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings dimiliki Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan dibayar RM2.2 bilion.

“Maka, apabila syarikat Felda Holdings ini dipindah milik kepada FGV, maka FELDA kehilangan anak syarikat yang selama ini memberi keuntungan kepadanya,” katanya pada Taklimat Khas Media, Felda Di Perah! di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara anak syarikat milik FELDA termasuk Felda Oil Mill yang memiliki 77 kilang, di seluruh negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan FELDA kehilangan sejumlah besar pendapatan yang akhirnya memberi kesan serius kepada operasinya sendiri.

“Akhirnya, pendapatan FELDA hilang lebih kurang 70 peratus dan di sini saya ingin beritahu sejarah penting malapetaka terhadap kami. Apabila FELDA hilang pendapatan, maka ia tidak mempunyai simpanan besar untuk memastikan khasnya masyarakat FELDA mampu teruskan kelangsungan mereka.

“FGV membayar pajakan sebanyak 15 peratus keuntungan operasi lebih kurang RM508 juta setahun daripada RM1.5 bilion menjadikan defisit begitu besar menyebabkan FELDA tak boleh beroperasi dengan baik bagi memastikan kepentingan masyarakat FELDA dijaga,” katanya.


Pengarang :