SELANGOR

Pengundi Bukit Gasing tidak terjejas, kekal pilih PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 APR: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing memahami perubahan senario politik terkini di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Rajiv Risyakaran.

Katanya, pengundi Bukit Gasing bijak menilai gerak kerja pentadbiran Kerajaan Negeri sepanjang dua penggal mengurus negeri berkebajikan itu.

Beliau bercaya, sebarang adu-domba dan permainan politik kotor pihak tertentu tidak akan mempengaruhi sokongan besar pengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina itu terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Sudah dua penggal dan rakyat Bukit Gasing boleh menilai sendiri tahap kemajuan ekonomi warga Selangor.

“Penilaian dan kejayaan inilah yang menjadi kayu pengukur bahawa kita mampu mengekalkan pentadbiran harmoni ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas ramalan sentimen pengundian pengundi di kawasan itu menjelang Pilihan Raya Umum 14, 9 Mei ini.

Sementara itu, sepanjang tempoh penggal wakil rakyat Rajiv di kawasan DUN Bukit Gasing, pelbagai masalah masyarakat di kawasan berkenaan mampu diselesaikan.

Antaranya, isu gantian paip lama, masalah kesesakan trafik pada waktu puncak, isu kesedaran denggi dan masalah kejiranan warga Petaling Jaya.

Selain komitmen turun padang wakil rakyat PAKATAN itu, Rajiv turut dikenali sebagai ‘abang kawasan’ oleh warga Bukit Gasing kerana keprihatinan beliau terhadap permasalahan setempat di DUN itu.

“Saya tidak perlukan retorik atau propaganda politik. Komitmen saya adalah turun padang mendekati masyarakat dan komited berbahas di Dewan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu-isu setempat di kawasan ini,” kata Rajiv.

=EZY=


Pengarang :