SELANGOR

Penjawat awam dinasihat berwaspada ancaman teknologi maklumat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 APR: Penjawat awam khususnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang bentuk ancaman ketika menjalankan tugas terutama di zaman tekonologi maklumat serta laman sosial.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Mazalan Md Noor berkata, sebagai penjawat awam mereka dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan perkara luar jangka yang boleh mengundang kecaman dan menjejaskan nama baik jabatan.

“Zaman teknologi masa kini sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi kita sebagai penjawat awam. Sentiasalah berwaspada dengan pertuturan, perbuatan dan gaya tubuh yang kita gunakan semasa berurusan dengan orang awam.

“Tindak tanduk kita sentiasa diperhatikan dan dirakam yang bertujuan untuk menjatuhkan serta mengancam kita sebagai penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, di Dewan Auditorium MBSA hari ini.

Katanya, penjawat awam Selangor sering menjadi rujukan apabila prestasi cemerlang menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain yang datang mengadakan lawatan bagi mempelajari sistem perkhidmatan jabatan.

=EZY=

 


Pengarang :