SELANGOR

Penjawat awam dituntut miliki kompetensi tinggi sepanjang berkhidmat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Penjawat awam negeri ini perlu memiliki kompetensi tinggi, ilmu pengetahuan dan kepakaran terhadap tugas yang dilaksanakan selain mengamalkan sikap profesionalisme.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, warga pentadbiran perlu menanamkan ciri-ciri itu dan mengaplikasinya sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa profesionalisme adalah elemen yang penting dalam menggerakkan pengurusan perkhidmatan sektor awam dan swasta.

“Mantan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini menggariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam golongan profesional, oleh itu ia perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Amin berkata, antara ciri lain yang disarankan termasuk mempunyai komitmen tinggi dan bersedia menjalankan tugas, bertanggungjawab dalam setiap pekerjaan dalam tempoh masa ditetapkan dan mempunyai kemahiran, kebijaksanaan dan kemampuan.

“Penjawat awam juga perlu berintegriti dari segi objektif, tidak bias dan tidak mementingkan diri sendiri selain mempunyai ciri kreatif, inovatif dan bermotivasi.

“Ini membolehkan bertindak balas dengan cepat terhadap perkembangan persekitaran, menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah dengan dinamik,” katanya.


Pengarang :