SELANGOR

Penyokong BN cetus provokasi, ganggu ketenteraman awam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 28 APR: Penyokong Umno-Barisan Nasional (BN) didakwa mencetuskan provokasi selepas proses penamaan calon P0.98 di sini, hari ini apabila sekumpulan penyokong parti itu membuat bising sehingga menganggu ketenteraman awam.

Mereka menunggang motosikal dan lengkap berpakaian tertera logo parti berkenaan membuat bunyi bising dengan memulas ‘trotel’ motorsikal masing-masing.

Situasi itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang kepada penyokong parti lain di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya tindakan berkenaan dibuat bagi menimbulkan kacau ganggu di kawasan pusat penamaan calon.

Sementara itu, kira-kira lebih 10,000 penyokong parti politik bertanding, berkumpul di Pusat Penamaan Calon P0.98, di Sungai Pusu, pagi ini.

Kerusi P0.98 turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (KEADILAN), dengan Calon PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahim Pandak Kamarudin.

Sebelum itu, calon Parlimen P0.98, Mohamed Azmin menenangkan salah faham yang berlaku antara penyokong parti bertanding ketika perarakan kemasukan calon ke Pusat Penamaan Calon P0.98 di SMK Sungai Pusu, pagi ini.

Beliau meredakan kekecohan bagi memberi laluan kepada petugas media menjalankan tugas merakam gambar sepanjang sesi penamaan calon dibuat, pagi ini.

“Ini kerja wartawan, jangan kacau! ,” katanya ketika menenangkan kekecohan di pintu masuk pusat penamaan calon.

=EZY=

 


Pengarang :