GLOBAL

Perancis berdepan mogok besar-besaran kereta api

PARIS 18 APR: Pengendali kereta api Perancis memberi amaran, pembatalan perkhidmatan secara besar-besaran berikutan pusingan baharu mogok kakitangan yang diadakan sempena demonstrasi diketuai kesatuan menentang Presiden Emmanuel Macron minggu ini.

Pusingan terbaharu mogok dan perhimpunan industri diadakan ketika kesatuan perdagangan terus memberi tekanan meningkat ke atas Macron, cuba memaksa beliau menarik balik pembaharuan meluas perkhidmatan kereta api dan sektor awam.

Pengendali kereta api kerajaan, SNCF berkata pusingan keempat mogok yang bermula awal bulan ini akan secara teruk mengganggu perkhidmatan hari ini dan esok, dengan hanya satu daripada tiga kereta api laju TGV beroperasi.

Hanya satu daripada empat kereta api serantau antara bandar dan satu daripada tiga tren ke Switzerland akan beroperasi.

Perkhidmatan Eurostar ke London bagaimanapun sedikit terjejas dengan empat daripada lima tren beroperasi.

Pembuat dasar dewan rendah Parlimen lewat semalam mengundi sebulat suara menyokong satu pembaharuan rangkaian kereta api yang akan menghapuskan keistimewaan pekerja kereta api dan mengubah status SNCF.

Selepas undian 454 berbalas 80 dalam Perhimpunan Kebangsaan, badan perundangan disokong parti pimpinan Macron dan pembangkang tengah-kanan, beralih ke Senat.

Macron berharap undang-undang itu akan diluluskan segera, menekankan mogok yang dijadualkan sehingga akhir Jun ini.

Beliau disokong sebahagian besarnya oleh pendapat awam, dengan 61 peratus responden dalam tinjauan terbaharu Ifop berkata mereka mahu kerajaan segera melakukan pembaharuan.

Sebaliknya kesatuan perdagangan berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka.

Kesatuan menggesa pemberhentian kerja dan bantahan seharian di seluruh negara esok (Khamis) sebagai sebahagian usaha menggerakkan pelbagai kumpulan menentang pembaharuan Macron.

Kakitangan awam, pekerja di rumah persaraan kerajaan dan pelajar digesa menyertai bantahan yang mungkin menyebabkan ratusan ribu penunjuk perasaan berarak di jalanan.

Kira-kira 300,000 kakitangan awam, pekerja kereta api dan pelajar mengambil bahagian dalam bantahan antiMacron 22 Mac lalu.

SUMBER: AFP


Pengarang :