SELANGORSUKANKINI

Perangsang Selangor terima pengiktirafan Anugerah Juri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 APR: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), buat julung kali dipilih selaku pemenang Anugerah Juri, pada Majlis Makan Malam Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017, yang berlangsung di Hotel Concorde, di sini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Pengerusi Perangsang Selangor, Yang Mulia Raja Idris Raja Kamarudin dan disaksikan kira-kira 500 tetamu dalam majlis berkenaan.

Pengiktirafan diberi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor itu ekoran kejayaan mewujudkan pelbagai program pembangunan sukan, terutama di peringkat akar umbi melalui pelaksanaan ‘Sukan Untuk Semua’.

“Program ‘Sukan Untuk Semua’ adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggunjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) bagi memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat menceburi ilmu sukan.

“Selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, ia dapat mencungkil bakat baru daripada peringkat akar umbi.

“Setakat ini, seramai 10,103 penyertaan membabitkan masyarakat pelbagai kaum, luar bandar dan bernasib baik termasuk anak yatim, golongan miskin, orang kelainan upaya serta orang asal seluruh Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, sepanjang 2017, Perangsang Selangor dengan kerjasama lapan penyedia latihan berjaya menganjurkan 90 klinik sukan dengan peruntukan RM1.4 juta

Raja Idris berkata, peruntukan itu merangkumi sukan renang, sepak takraw, memanah, boling, bola sepak,lumba basikal, badminton dan skuasy seluruh daerah.

Katanya, Perangsang Selangor juga menaja dua kejohanan bola sepak iaitu Piala Dato’ Mokhtar Dahari (B-18) dan Piala Raja Muda Selangor (B-12) bagi mengetengahkan pemain bola sepak ke peringkat lebih tinggi.

“Menerusi bimbingan jurulatih profesional, program ini berjaya menggilap 174 bakat baru untuk mewakili sekolah, negeri dan negara ke kejohanan sukan tempatan serta antarabangsa.

“Seramai 38 pemain bola sepak diikat beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab. Ia termasuk Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Negeri Sembilan serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), manakala dua pemain diserap dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Justeru, beliau percaya Perangsang Selangor akan terus komited dalam meneraju pembangunan sosial dan masyarakat yang mampan selaras pelan perniagaan Kumpulan.


Pengarang :