NASIONAL

Perhimpunan aman tuntut hak rakyat Palestin kembali ke tanah air

OLEH HAZIQ ISMAIL

AMPANG, 14 APR: Masyarakat awam bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman selepas solat Jumaat di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini, semalam.

Perhimpunan Great Return March (GRM) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ini bertujuan menyerahkan memorandum menuntut hak rakyat Palestin untuk pulang ke tempat asal tanpa dicederakan oleh tentera Israel.

Setiausaha MAPIM, Zulhanis Zainol berkata, kempen seperti ini telah berlaku di Gaza setiap hari Jumaat selama tiga minggu dan seramai 33 rakyat Palestin telah terkorban kerana dizalimi tentera Israel.

“Dan kali ini kita menyahut seruan yang sama untuk berhimpun solidariti dalam himpunan GRM ini bagi menyatakan bahawa rakyat Malaysia prihatin tentang apa yang berlaku.”

“Terdapat 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan 6 dari Palestin turut hadir bagi memberi sokongan terhadap kempen ini,” katanya di Perhimpunan GRM, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.

Zulhanis berkata, antara NGO yang terlibat ialah MyCare, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan NGO dari Palestin antaranya Institute of Excellence for Islamic Jerusalem Studies (Ieijs) dan The Union of NGOs of the Islamic World (UNIW).

Jelasnya, memorandum itu terkandung tentang pengembalian tanah yang dirampas oleh tentera Zionis serta menamatkan penindasan terhadap rakyat Palestin yang tinggal di Israel.

Katanya, akan ada kempen iaitu Memperingati Nakbah Palestin yang ke 70 tahun pada 11 Mei ini bertempat di sini dan ia adalah kempen susulan selepas perhimpunan ini.

Gerakan ini sebagai tanda solidariti untuk rakyat Palestin dan pembebasan negara itu daripada cengkaman Israel.

=EZY=


Pengarang :