SELANGOR

Pertahan hak, Azmin santuni masyarakat India Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Komitmen Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memastikan kebajikan masyarakat Selangor tidak hanya tertumpu kepada kebajikan kaum Bumiputera sahaja.

Mohamed Azmin berkata, ia turut meliputi aspek keseluruhan kaum majoriti dan minoriti di negeri berkebajikan itu.

Beliau menegaskan, prinsip kesamarataan semua kaum dipegang utuh pentadbiran PAKATAN sepanjang tempoh mentadbir negeri, sejak dua penggal lalu.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan, walaupun Selangor ini mempunyai pelbagai bangsa, namun kami sentiasa memberi sokongan dan dukungan kepada semua kaum termasuklah orang India, Sikh, Cina yang hidup sebagai sebuah keluarga harmoni di Selangor.

“Pentadbiran negeri juga cukup sinonim bahawa kita tidak meletakkan pentadbiran ini berpandukan dasar perkauman semata-mata, tetapi ia meliputi semua.

“Orang India dapat manfaat, orang Melayu, orang Cina dan semua maasyarakat termasuklah penduduk di kawasan Gombak Setia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah Hari di Flat Samudra, Gombak Setia, petang ini.

Hadir sama Calon N.17 Gombak Setia, Hilman Idham.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri pelbagai dasar meliputi aspek berkebajikan di perkenalkan pentadbiran negeri dengan menerapkan aspek kesamarataan semua kaum di Selangor.

Ia dilaksanakan di bawah program berkebajikan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membabitkan golongan sasar semua kaum di Selangor.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan khas kepada masyarakat India di bawah bidang kuasa Exco Kerajaan Negeri, Ganabatirau Veraman.

=EZY=


Pengarang :