SELANGOR

Pertahan Selangor, kekal laksana agenda peduli rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 30 APR: Calon P0.98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tekad mempertahankan kepimpinan Selangor demi kelangsungan kebajikan rakyat, di negeri itu.

Beliau berkata, legasi kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor akan terus melaksanakan dasar peduli rakyat bagi menjadikan negeri itu sebagai negeri penyayang.

“Sementara kita mahu membangunkan Selangor sebagai negeri maju, berteknologi tinggi dan pengurus kewangan terbaik, pada masa sama menjadi tekad saya untuk membangunkan Selangor sebagai negeri penyayang.

“Saya mahu menjadikan negeri ini peduli rakyat kerana kita mahu kekayaan dan khazanah yang diberikan ini dapat dikongsikan secara adil serta saksama kepada semua.

“Ini selaras dengan prinsip amanah untuk berlaku adil dan membuat ikhsan yang menjadi teras serta dasar kepada pentadbiran Kerajaan PAKATAN yang adil ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran PAKATAN di negeri itu kekal komited untuk terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang memberi jaminan kebajikan kepada rakyat Selangor.

“Kerajaan PAKATAN sentiasa adil kerana amalan keadilan sosial ini tidak pernah mengenal sentimen perbezaan warna kulit, agama dan ia harus diberikan kepada mereka yang berhak di negeri ini.

“Justeru, tanggungjawab ini harus dipertahankan demi kebajikan semua rakyat Selangor,” katanya.

 


Pengarang :