SELANGOR

Peruntukan JAIS atasi belanjawan negeri lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 APR: Kerajaan Negeri bukan sahaja mengutamakan pembangunan kerohanian dalam kalangan generasi muda tetapi turut mementingkan keseimbangan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan itu mendorong Kerajaan Negeri memperuntukan belanjawan besar kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hingga mengatasi belanjawan tahunan keseluruhan sesetengah negeri lain.

“Masjid dan surau dapat ratusan juta ringgit, malah JAIS pada tahun lalu mendapat RM470 juta. Ada negeri belanjawan tidak sampai RM400 juta.

“Kita satu jabatan sahaja sudah RM400 juta kerana ingin bangunkan masjid, surau dan maahad tahfiz. Kita bukan sahaja mahu anak ada kekuatan kerohanian tetapi mempunyai kemahiran bidang sains dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Perdana Paya Jaras di tapak pasar malam Paya Jaras Tengah, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut mementingkan usaha meningkatkan ekonomi masyarakat menerusi pelbagai bantuan.

Katanya, antara langkah diambil ialah melancarkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) meliputi pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

“Kita sudah beri air percuma, modal perniagaan, Skim Peduli Sihat dan baru-baru ini, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kerana kita menghargai pengorbanan ibu juga wanita.

“Kita naikkan daripada 30,000 kepada 40,000 dan dana yang digunakan untuk KISS daripada RM72 juta kepada RM96 juta,” katanya.


Pengarang :