NASIONAL

Pilih PAKATAN, Wardina Safiyyah tolak Umno BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 APR: Selebriti tempatan, Wardina Safiyyah menolak kepimpinan pentadbiran Umno-Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau secara terang-terangan membuat kenyataan itu di Facebook miliknya, pada 6 April lalu, lapor RoketKini.

“Tidak, saya tidak takut untuk menyatakan sokongan saya bukanlah untuk BN,” katanya.

Pelakon itu berkata, parti ketuanan Melayu berkenaan sudah terlalu lama memegang tampuk pentadbiran negara, sekali gus memerlukan pentadbiran lebih jelas dan bermanfaat kepada rakyat.

“Mereka sudah berkuasa terlalu lama. Malaysia memerlukan pemimpin ikhlas, yang betul-betul peduli dan berkelayakan. Negara sudah penat dengan pemimpin korup,” katanya.

Kenyataan pelakon Spanar Jaya itu turut dikongsikan bersama pautan siasaran langsung video pengumuman logo KEADILAN, komponen Pakatan pada pilihan raya depan.

Dilaporkan, ini bukan pertama kali selebriti tempatan membuat kenyataan terbuka mengkritik pentadbiran Umno-BN secara terbuka di media sosial.

Kenyataan sama pernah dinyatakan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang menyokong kepimpinan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir sepenuhnya.

Selain itu, penyanyi Najwa Mahiaddin dan Yassin serta Chef Selebriti terkemuka negara, Chef Wan turut menyatakan sokongan.


Pengarang :