SELANGOR

Pimpinan Umno, jangan jadi seperti sesumpah – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 APR: Pimpinan Umno digesa tidak memanipulasi kenyataan dan fakta yang akhirnya menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat terhadap situasi sebenar berhubung isu, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, fakta sebenar itu perlu dikaji secara tepat dan menyeluruh berlandaskan maklumat sahih serta boleh dipercayai.

Katanya, ketika ini wujudnya pimpinan Umno yang mengubah fakta sebenar terhadap isu yang sengaja dipanaskan media tempatan.

“Jangan asyik bertukar-tukar kenyataan dan cuba memanipulasi kebenaran serta pendirian mereka.

“Orang yang suka tukar kenyataan ini sama sahaja seperti sesumpah yang suka tukar warna,” katanya kepada pemberita, pada majlis di Rawang, semalam.

Sebelumnya, beliau diminta mengulas dakwaan pimpinan Umno membabitkan isu air negeri yang dilaporkan media arus perdana.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, dakwaan dilemparkan pimpinan itu hanya bersifat retorik dan propaganda politik tidak berasas.

“Orang seperti ini, makin lama akan tukar mereka punya kenyataan dan modus. Dulu kata simpanan air empangan tidak mencukupi.

“Tetapi apabila bila kita beri penjelasan empangan mencapai 100 peratus, mereka tukar kenyataan lain pula.

“Sudahlah, tentukan dulu apa yang ingin mereka katakan dan saya akan menjawab dengan fakta,” katanya.


Pengarang :