SELANGOR

PKNS tawar kediaman mampu milik serendah RM100,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 17 APR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan Pangsapuri Mampu Milik Selangorku dengan harga ditawarkan serendah RM100,000 bagi 90 unit berkeluasan 750 kaki persegi (kps), bertempat di Kampung Seri Temenggung, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, pangsapuri berkenaan selaras dasar Kerajaan Negeri iaitu “Satu Keluarga Sebuah Kediaman Yang Sempurna” dengan dilengkapi kemudahan asas lengkap untuk menjamin keselesaan bakal pemilik.

“PKNS dengan usahasama Rexpoint Resources Sdn Bhd menambah lagi 420 unit rumah jenis Selangorku untuk fasa pertama dan 248 bagi pembangunan fasa kedua.

“Kedua-dua fasa ini membabitkan 8.6 ekar tanah lengkap dengan segala kemudahan kepada bakal pembeli apabila siap menjelang tahun 2021 bagi fasa pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Idaman PKNS yang disempurnakan acara perasmian oleh Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, di sini, hari ini.

Noraida berkata, PKNS yakin projek berkenaan menepati citarasa pembeli berdasarkan konsep rekabentuk dan pemilihan lokasi yang amat strategik dengan jaringan akses kemudahan logistik melalui Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta akses utama melalui Lebuh Utama Sri Gombak.

“Ia semestinya menjadi kelebihan daya saing kepada pemilik dengan kemudahan disediakan serta jangkaan nilai hartanah yang dijangka meningkat pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pangsapuri berkenaan turut menawarkan unit berkeluasan 900kps dengan harga RM180,000 dan 210 unit berkeluasan 1,000kps dijual pada RM220,000 bagi fasa pertama dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan kemasan lantai jubin seramik.

Pangsapuri dua blok itu dilengkapi dengan surau, dewan serbaguna, bilik serbaguna, tadika, bilik bacaan, bilik mesyuarat, pejabat pengurusan bangunan, kawasan lapang, taman permainan, gelanggang badminton / gelanggang futsal, rumah sampah dan pondok pengawal.

Pangsapuri Mampu Milik Selangorku ini merupakan projek rumah mampu milik ke tujuh PKNS yang mana enam projek terdahulu telah disiapkan terdiri daripada 1,422 unit rumah berkembar di Bukit Botak, 124 unit pangsapuri di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 129 unit teres 1 ½ tingkat dan 80 unit rumah teres 2 tingkat di Antara Gapi, 198 unit town house di Kota Puteri dan 104 unit pangsapuri di Desa Alam.

=EZY=


Pengarang :