SELANGOR

Politik tidak halang penduduk Flat PKNS muafakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 APR: Perbezaan ideologi politik tidak menghalang penduduk Flat PKNS Seksyen 19, di sini, untuk hidup bersatu padu dan menjalin hubungan erat sesama mereka.

Penduduk Blok 8, Zalimi Zakaria, 33, berkata semangat muafakat yang terjalin sejak sekian lama dalam kalangan penduduk adalah kunci utama terbentuknya perpaduan.

“Walaupun dalam kalangan kami ada pelbagai fahaman politik tetapi semangat kejiranan tetap diutamakan.

“Apabila diadakan program seperti gotong-royong misalnya, semua turun membantu tidak kira daripada parti apa sekalipun,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah, Amira Zaiti Mohd Noor, 28, berkata menghormati hak mana-mana individu untuk menyokong parti pilihan masing-masing sudah menjadi amalan penduduk, di sini.

“Kami tidak kisah parti mana orang itu sokong tetapi apa yang penting jangan timbulkan provokasi dan jaga hati jiran.

“Apabila persatuan mengadakan program, semua pihak dijemput hadir tanpa mengambil kira parti apa,” katanya.

Sementara itu, Sarimah Mohd Noor, 30, berkata semangat muafakat dalam kalangan penduduk mengatasi perbezaan politik membolehkan mereka hidup harmoni.

“Jika ada masalah, kita selesaikan bersama dan yang penting saling menghormati,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Komuniti 19/3 dan KRT 19/3 menyambut kedatangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menggantung pemidang bertulis ‘tak kira apa pun fahaman politik, jangan sampai tak bertegur sapa dan saling bermusuhan. Kita semua satu komuniti, kekalkan muafakat. Ini negara demokrasi.’


Pengarang :