EKONOMI

PREC kerjasama bersama Common Ground buka ruang pejabat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 29 APR: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengumumkan kerjasama bersama Common Ground membuka ruang pejabat perkongsian baharu dengan kos bernilai RM3 juta di Menara Worlwide, Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, beliau percaya kerjasama itu selari dengan keprihatinan syarikat yang semakin mendalam terhadap pemula niaga dan perniagaan berkenaan teknologi.

“Visi kita untuk merealisasikan manfaat sebenar bagi perkongsian ruang pejabat iaitu memupuk persahabatan yang membina jaringan perhubungan dan perkongsian idea dalam kalangan golongan sependapat.

“Sebagai rakan kongsi bersama Common Ground Menara Worlwide Bukit Bintang dan pemilik bangunan melalui anak syarikat milik penuh, Central Holdings Berhad, PREC menjangka untuk memacu masyarakat yang lebih inovatif dan keusahawanan berjaya di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sidang Media Kolaborasi antara PREC dan Common Ground di sini.

Fakru Radzi berkata, Bukit Bintang merupakan lokasi keempat Common Ground sejak pelancarannya pada tahun lalu.

Katanya, ia diasaskan bersama oleh Juhn Teo dan Erman Akinci, perniagaan ‘game changer’ itu sudah memperoleh lebih 1,200 ahli bermula daripada empat lokasi terawal dengan harapan untuk berkembang di pasaran tempatan dan luar negara iaitu Thailand dan Filipina pada tahun ini.

“Sebagai perniagaan yang mensasarkan mengubah definisi ruang kerja di seluruh Asia Tenggara, Common Ground berkolaborasi dengan pelbagai jenama gaya hidup seperti Fitness First, Happy Fresh dan Pressto untuk memenuhi keperluan tenaga kerja fleksibel dan mudah alih pada hari ini,” katanya.

Di samping itu, katanya, tawaran menarik pulangan pelaburan melalui usaha sama itu, PREC percaya bahawa ruang pejabat Common Ground di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur bakal melonjakkan permintaan dan menggalakkan penerimaan dalam kalangan syarikat di bandar.

Sementara itu, Pengasas Common Ground, Erman Akinci berkata, dalam usaha mengenalpasti peluang baru untuk berkembang dan mempelbagaikan perniagaan, usaha sama seperti itu membantu membentuk kedudukan tempatan sementara masih mengembangkan perniagaan di Malaysia serta beberapa negara sasaran lain.

“Kita bukan hanya penyedia ruang pejabat perkongsian bahkan memberi nilai tambah kepada ahli Common Ground dan komuniti di dalam Menara Wordlwide,” katanya.

Menariknya, lokasinya Menara Worldwide turut terletak di kawasan strategik berdekatan MRT, akses pejalan kaki, pusat membeli-belah, hotel dan bank selain menonjolkan reka bentuk artistik untuk memberi inspirasi kepada kreativiti dan inovasi bersama pemandangan 360 darjah menghadap pusat bandar.

PREC merupakan cabang pelaburan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini memiliki enam aset di Lembah Klang dan sedang merancang untuk memperoleh lebih peluang kerjasama meneroka potensi pelaburan dalam industri seperti runcit dan teknologi.

=EZY=


Pengarang :