SELANGOR

Prinsip ‘new township’ laksana pembangunan sejahtera

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Kerajaan Selangor mengamalkan dasar pembangunan ‘new township’ dengan memberi tumpuan terhadap keseimbangan projek pembangunan bandar dan luar bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemajuan ekonomi negeri kini mendorong pentadbiran Selangor mengimbangi dasar pembangunan desa di seluruh negeri.

“Kerancakan ekonomi di Selangor menyebabkan pembangunan itu tidak boleh tertumpu hanya di kawasan bandar utama seperti di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya sahaja.

“Tetapi kekayaan dan kemakmuran ini harus dibawa ke kawasan pendalaman dengan membuka ‘new township’ yang memerlukan inisiatif berterusan untuk membangunkan kawasan perbandaran baru, termasuklah di Rawang dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Batu Arang, Rawang.

Dalam perkembangan itu, projek pembangunan jambatan berkenaan dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM42 juta.

Ia dilaksanakan bagi meleraikan permasalahan trafik khususnya pada waktu puncak di sepanjang laluan Batang Berjuntai dan Batu Arang.

Sementara itu, Mohamed Azmin pada pengumuman Belanjawan Negeri 2018 lalu memaklumkan, Kerajaan Negeri konsisten menjayakan projek pembangunan luar bandar.

Ia dilaksanakan secara komprehensif di bawah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.12 bilion dengan RM1.66 bilion disalurkan untuk tujuan pembangunan seluruh negeri.

=EZY=


Pengarang :