ALAM SEKITAR & CUACAPBTSELANGOR

Prolintas sumbang RM30,000 jayakan ‘Shah Alam Trees For Life’

OLEH: SYASYA SUFIAN

SUNGAI BULOH, 7 APR: Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) menyumbangkan sebanyak RM30,000 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjayakan program penanaman pokok ‘Shah Alam Trees For Life’ pertama untuk tahun ini.

Pengerusi Program Trees For Life, V. Papparaidu berkata, program kerjasama itu bagi menghijaukan landskap bandar raya Shah Alam.

Katanya, sebanyak 2,000 pokok akan di tanam di sekitar kawasan hijau Taman Rekreasi Sungai Buloh, Seksyen U20, di sini hari ini.

“Antara jenis pokok ditanam adalah 500 dari jenis Cassia Fistula, Tabebuia Rosea, Lagerstromia Langkawiensis, Syzgium Oleana, Mangifera Indica, Nephellum Lappaceum Annona Muricata, Gnetum Gneman, Citrus Hystrix.

“Selain itu 1,500 pokok lagi adalah jenis pokok renek,” katanya yang mewakili Dato’ Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Beliau yang juga Ahli Majlis MBSA Zon 14 berkata program itu melibatkan penyertaan seramai 350 peserta yang terdiri daripada 100 orang warga kerja Prolintas, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Eco-Warriors, MSU, Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2 serta Persatuan Penduduk Sungai Buloh.

Sementara itu, Pengurus Kanan Prolintas, Harris Abdullah berkata, itu merupakan kerjasama kali keempat bersama MBSA dan pihaknya berhasrat untuk meneruskan jalinan itu pada masa hadapan.

“Kerjasama ini adalah komited untuk menjadikan Shah Alam bandaraya rendah karbon menjelang 2030,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :