SELANGOR

Proses penamaan calon di Shah Alam berjalan lancar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Shah Alam yang diadakan di Dewan Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam di sini hari ini berjalan lancar.

Seawal jam 7.30 pagi kawasan sekitar dilihat penyokong mula hadir menanti ketibaan calon-calon sokongan mereka.

Bagi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi bagi parti (KEADILAN) mewakili Pakatan Harapan mula bersiap dan berkumpul di Surau Hamidee Seksyen 19, seawal jam 7 pagi bagi melaksanakan solat hajat untuk memohon kepada Allah s.w.t perjalanan penamaan calon berjalan dengan lancar.

Perkara itu dilaksanakan calon Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Sejurus selesai persiapan, ketiga calon berarak ke dewan penamaan calon sekitar jam 8.30 pagi diiringi penyokong.

Sekitar jam 8.40 penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS juga berarak menghampiri kawasan berdekatan dewan bersama calon masing-masing.

Tepat jam 9 pagi kesemua calon dibenarkan masuk ke dewan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (P108), Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad yang juga merupakan Dato’ Bandar Shah Alam mengumumkan kebenaran kertas penamaan pencalonan dibuka dan tutup jam 10 pagi.

=EZY=


Pengarang :