BERITA UTAMANASIONAL

PRU-14: KEADILAN bakal tampil tokoh muda dengan rekod cemerlang

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 APR: Sebagai sebuah parti yang dinamik, Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) bakal menampilkan beberapa lagi tokoh muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tokoh muda yang bakal terpilih merupakan individu yang profesional, berwibawa dan mempunyai rekod yang cemerlang.

“Kita sebagai sebuah parti yang dinamik dan parti reformasi sudah tentulah kita menunjukkan tokoh tokoh muda yang bertenaga, profesional yang mempunyai trek rekod yang baik dan wibawa untuk mewakili kawasan berkenaan.

“Kita mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh ditonjolkan dan saya melihat proses ini dapat kita selesaikan secara bermuafakat,” kata Dato’ Menteri Besar itu kepada SelangorKini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Ketika ditanya, mengenai perpindahan calon antara peringkat Dewan Negeri dan Persekutuan, Mohamed Azmin berkata perkara itu juga ada dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Bagaimanapun jelasnya, pembahagian kerusi bagi calon KEADILAN masih berjalan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Itu dalam perbincangan, belum dimuktamadkan tetapi yang penting kita harus meletakkan calon yang dapat diterima oleh pengundi di kawasan bekenaan,” katanya.

=EZY=

 

 


Pengarang :