SELANGOR

PRU14: Jabatan Penerangan Selangor buka pusat media

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 APR: Jabatan Penerangan Selangor mengambil inisiatif membuka pusat media di Wisma Persekutuan Klang bagi kemudahan pengamal media menjalankan tugas masing-masing, sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin berkata, ia mula dibuka semalam bermula jam 9 pagi hingga 9 malam, setiap hari sehingga 9 Mei ini.

Katanya, pusat media yang dilengkapi penghawa dingin itu boleh memuatkan sehingga 10 orang, pada satu-satu masa.

“Di sini, kita sediakan empat unit komputer, kemudahan wifi, minuman ringan, surau dan tempat letak kereta percuma.

“Pusat media ini dikendalikan Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Latif, dibantu empat kakitangan yang bersedia membantu petugas media,” katanya memetik laporan BH Online.

Norbaya berkata, pusat media itu terletak berhampiran empat pusat penamaan calon dan penjumlahan undi daerah berkenaan iaitu Parlimen Kota Raja, Kapar, Klang dan Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan maklumat berkenaan pilihan raya lalu, senarai calon dan pergerakan calon, jumlah dan peratusan pengundi mengikut kaum serta peta mengikut Parlimen.


Pengarang :