SELANGOR

PRU14: Penjawat awam disaran bersikap profesional

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), penjawat awam di negeri ini disarankan bersikap profesional dan tidak berat sebelah kepada mana-mana parti politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, sebagai penjawat awam yang profesional, prinsip ‘To serve the goverment of the day’ perlu diterapkan.

“Bukan hanya perlu bersifat neutral dalam politik tetapi perlu neutral juga dalam kerja dilakukan.

“Saya menyeru kepada seluruh penjawat awam Selangor untuk menjalankan tugas masing-masing dengan penuh profesional, berintegriti dan bersikap non-partisan terutamanya Pegawai Pengurus Plihan Raya dan petugas lain sepanjang tempoh musim PRU berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Terdahulu, teka-teki berhubung tarikh PRU14 terjawab apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan ia akan diadakan, pada 9 Mei ini.

Pengundian awal ditetapkan, pada 5 Mei ini sementara hari penamaan calon pula ditetapkan, pada 28 April ini.

Manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 8 Mei ini.


Pengarang :