NASIONAL

PTPTN: Senarai hitam peminjam langkah terakhir

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Penyenaraian hitam peminjam dalam rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merupakan langkah terakhir digunakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai peringatan supaya menjelaskan bayaran.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, langkah itu dibuat selepas notis peringatan dan pembayaran balik dihantar kepada peminjam yang mempunyai tunggakan lebih enam bulan selepas belajar.

“Ia bukan perkara menindas, menghukum atau membebankan peminjam tetapi lebih kepada membantu dan mendidik peminjam mengambil langkah memulakan pembayaran balik secara konsisten bagi mengelakkan mereka lebih terbeban di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Dewan Rakyat.

Menurutnya, prosedur penyenaraian hitam itu selaras dengan peruntukan Seksyen 22A Akta PTTN 1997, Akta 566 yang membenarkan PTTN menyenarai hitam peminjam dengan kerjasama JIM.

Katanya, langkah itu memberikan kesan positif apabila hampir 60 peratus peminjam yang disenarai hitam tampil berbincang untuk melakukan penstrukturan semula bayaran pinjaman sehingga Februari 2018 dengan kutipan RM1.84 bilion.


Pengarang :