NASIONAL

Putrajaya sedia hadapi Malaysia baru!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad optimis, masyarakat Malaysia bersedia membina Malaysia baru yang ditunjangi pentadbiran Pkatan Harapan (PAKATAN) di Putrajaya.

Beliau berkata, keyakinan itu didorong kredibiliti PAKATAN yang menawarkan pilihan terbaik kepada pembaharuan masa depan negara.

“Masanya sudah tiba kita meninggalkan ketakutan, skandal dan perpecahan masa lampau.

“Negara kita bersedia untuk harapan baru, selain kehidupan lebih baik dan adil untuk rakyatnya.

“Pilihannya ini adalah jelas, kekal pada takuk lama atau bergerak ke hadapan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.

“Lebih penting lagi, PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) penting untuk memperkukuhkan dan menghidupkan demokrasi sebagai prinsip asas kehidupan kita sebagai warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, rakyat perlu melakukan pembaharuan dengan menolak parti pimpinan kleptokrat yang terus mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda untuk mengundi.

“Masa depan Malaysia dan anda adalah di tangan anda. Mari kita membina negara dan memenuhi harapan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Perkenan itu juga bakal memberi laluan kepada PRU14, diadakan.


Pengarang :