Selangorkini
NASIONAL

Rakyat Kedah boleh buat perubahan, contohi Selangor dan Pulau Pinang

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) telah membuktikan mampu mentadbir Selangor dengan baik dalam tempoh singkat berbanding Umno-Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Kedah mesti menolak Umno-BN dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti agar menikmati kehidupan dan masa depan lebih baik di bawah PAKATAN.

“Orang Kedah pernah melakukan satu kejutan (menukar kerajaan Umno-BN) pada 2008 (PRU12).

“Kita boleh teruskan tradisi itu kerana kuasa di tangan kita, bukan di tangan Perdana Menteri dan biar kita menentukan masa depan anak kita,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang PRU14.

Naib Presiden PAKATAN itu berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri ketika mengumumkan manifesto Umno-BN untuk negeri itu mencontohi Selangor apabila menjadikan agenda peduli rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, sekiranya Kedah dan negeri lain ditadbir Umno-BN ingin mengikuti langkah dirintis Selangor, adalah lebih baik PAKATAN diberi ruang bagi mengambilalih pentadbiran negeri seterusnya Putrajaya.

“Agenda Inisiatif Peduli Rakyat kita laksanakan banyak memberi kebaikan kepada rakyat antaranya masyarakat kampung dikecualikan membayar cukai, skim peduli sihat, bas Smart Selangor dan sebagainya.

“Kalau rakyat Kedah nak bas Smart Kedah, boleh, lakukan perubahan, 10 Mei akan dapat ke Kedah” kata Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, rakyat Kedah boleh menikmati keadaan sama dengan melakukan perubahan kepada pentadbiran negeri seperti mana Selangor kini dengan pelbagai kemajuan termasuk pelaburan domestik dan asing dari Asia, Timur Tengah serta Eropah.

=EZY=


Pengarang :