SELANGOR

Rasuah: ‘Laporkan, saya berani letak jawatan’ – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berani meletakkan jawatannya jika beliau terbabit dengan mana-mana skandal rasuah.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, semua pihak boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika didapati beliau terbabit dalam masalah itu.

“Saya tidak pernah menelefon mana-mana pegawai minta tender, tanah atau mengganggu proses projek.

“Jika ada boleh laporkan dan saya berani letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini.

Mohamed Azmin berkata, beliau dan pimpinan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong semangat profesionalisme penjawat awam tanpa gangguan orang politik.

“Jika kami tidak lakukan seperti ini, mana mungkin Selangor muncul sebagai negeri maju.

“Biarpun setiap jam 8 malam saya menjadi mangsa, tetapi saya masih berani berdepan dengan rakyat bagi membela rakyat dan pegawai kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mahu semu pihak menilai kerja keras pimpinan PAKATAN sejak 10 tahun lalu.

“Kita bawa banyak perubahan. Kita kerja kuat. Semua pihak tidak kira Datuk Bandar, Yang DiPertua, Pegawai Daerah atau siapa sahaja, boleh bandingkan.

“Anda berkhidmat 10 tahun atau 20 tahun di Selangor, boleh menilai sendiri perbandingan yang kita lakukan.

“Kami sangat mengiktiraf pegawai-pegawai kerajaan kerana saya yakin mereka ini pegawai yang cukup profesional dalam menjalankan tugas,” katanya.


Pengarang :