SELANGOR

Respon positif, peluang PAKATAN cerah di Lembah Jaya

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 29 APR: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Haniza Talha, berpeluang cerah memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya apabila pencalonannya mendapat respon positif masyarakat setempat.

Dalam beberapa program menyantuni rakyat di sekitar kawasan DUN itu, rata-rata orang ramai menyenangi kehadirannya yang memberi petanda PAKATAN mempunyai kelebihan di DUN berkenaan.

Ternyata perpindahan mantan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) dari Taman Medan ke Lembah Jaya tepat pada masanya ekoran kejayaan beliau ketika mewakili DUN itu pada dua penggal lalu.

Haniza yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN berkata, keyakinannya tinggi terhadap sokongan rakyat berikutan kecemerlangan PAKATAN dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008.

“Saya selesa dengan keadaan ini dan saya akan bawa pengalaman ketika di sana (Taman Medan) agar dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan ini,” katanya.

Seperti mana DUN lain, beliau berkata, Lembah Jaya sentiasa diberi perhatian Kerajaan Negeri melalui program pembangunan dijalankan.

“Rakyat diminta terus memberi sokongan kepada PAKATAN supaya program pembangunan dapat terus dijalankan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :