EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 3.9060/9090 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 24 APR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini disebabkan pulangan bon Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, kata peniaga.

Pada jam 9.25 pagi, ringgit disebut pada harga 3.9060/9090 daripada 3.8965/8995 penutup Isnin.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata bon tempatan terus dijual sepanjang sesi dagangan semalam, di tengah-tengah sentimen mengambil risiko yang rendah menjelang pilihan raya umum akan datang, selain peningkatan pulangan bon Perbendaharaan AS.

“Pasaran bon Malaysia kelihatan akan terus turun menjelang pilihan raya umum, dan bon Perbendaharaan AS pula kelihatan akan mengukuh,” katanya kepada BERNAMA.

“Kami menjangka ia akan menguji paras kritikal RM3.90 berbanding dolar AS,” katanya.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 2.9433/9473 daripada 2.9452/9481 dan menokok berbanding yen kepada 3.5884/5915 daripada 3.6005/6043.

Ringgit mengukuh kepada 5.4387/4433 daripada 5.4411/4464 berbanding pound British dan menokok kepada 4.7630/7678 daripada 4.7658/7706 berbanding euro.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :