EKONOMI

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 14 APR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan pelabur cenderung kepada unjuran positif mata wang negara maju itu dalam jangka pendek.

Pada 6 petang, unit tempatan disebut pada 3.8785/8815 berbanding dolar AS daripada 3.8750/8780 ketika ditutup semalam.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga, berkata dolar AS kekal disokong oleh jangkaan​​​​​​​ kenaikan kadar faedah AS tahun ini yang lebih cepat, sekali gus mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit berkemungkinan menerima kesannya.

“Selain itu, kebangkitan semula dolar AS berupaya menjejaskan ringgit, bagaimanapun​​​​​​​ keyakinan terhadap ekonomi Malaysia boleh mengehadkan penurunan itu,” katanya kepada Bernama.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9573/9603 daripada 2.9553/9580 ketika ditutup semalam, namun tinggi berbanding yen kepada 3.6042/6080 daripada 3.6235/6274.

Mata wang tempatan lemah berbanding euro kepada 4.7837/7878 berbanding 4.7810/7862 semalam dan susut berbanding pound kepada 5.5393/5451 daripada 5.4905/4951.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :