EKONOMI

Ringgit lemah, diniaga 3.9050/9100 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 25 APR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disebabkan penyusutan sentimen untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit disebut pada harga 3.9050/9100 daripada 3.9030/9080 penutup Selasa.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata pulangan bon Perbendaharaan 10 tahun AS gagal meraih sokongan di atas tiga peratus, menyebabkan penjualan di pasaran saham AS, yang akan melemahkan sentimen risiko global manakala menjadikan mata wang ASEAN kurang menarik.

“Penjualan semalaman dalam kedua-dua sektor perindustrian dan teknologi AS akan memberi kesan negatif dalam sesi hari ini,” katanya.

Ringgit didagangkan lebih lemah berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ia susut kepada 2.9512/9561 daripada 2.9510/9559 dan turun berbanding yen kepada 3.5862/5918 daripada 3.5860/5913.

Ringgit susut kepada 5.4619/4693 daripada 5.4466/4552 berbanding pound British dan lebih lemah 4.7758/7823 daripada 4.7644/7713 berbanding euro.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :