GLOBAL

Riyadh: Bukan insiden rampasan kuasa, dron ceroboh istana

RIYADH – ARAB SAUDI 22 APR: Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan insiden tembakan di istana raja di Riyadh lewat malam semalam bukan berpunca daripada insiden rampasan kuasa.

Agensi Berita Antarabangsa Al-Jazeera melaporkan sebaliknya, jurucakap kerajaan memaklumkan tembakan bertalu-talu itu dilepaskan oleh pasukan keselamatan yang menyasarkan sebuah dron mainan yang menghampiri kawasan istana.

Polis menembak jatuh sebuah dron kecil yang dikesan berada di kawasan pemeriksaan keselamatan di kejiranan Khuzama, lapor agensi berita kerajaan SPA.

Tambah SPA, satu siasatan telah dijalankan bagi menyiasat insiden tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai senior yang tidak dinamakan memberitahu semasa kejadian, Raja Arab Saudi, Raja Salman tidak berada di Istana.

“Raja Salman berada di ladangnya di Diriya,” katanya.

Pada Oktober 2017, dua pengawal keselamatan terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di pintu gerbang Istana As Salam di Jeddah.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, seorang lelaki berusia 28 tahun dikenali sebagai Mansour al-Amri melepaskan tembakan ke arah pos kawalan diraja sebelum ditembak mati oleh pengawal lain.

SUMBER: Al Jazeera


Pengarang :