SELANGOR

RM15.5 juta bina masjid baharu Kampung Melayu Rasa

OLEH HAFIZAN TAIB

RASA, 13 APR: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15.5 juta bagi membangunkan masjid baharu menggantikan masjid sedia ada di Kampung Melayu Rasa, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembinaan masjid baharu itu dilihat satu keperluan bagi masyarakat sekitar dan Hulu Selangor ketika ini.

“Masjid sedia ada berusia lebih 43 tahun dan sudah uzur maka ada keperluan untuk membina masjid baharu.

“Memandangkan Hulu Selangor menjadi daerah tumpuan dengan banyak pelaburan asing dan tempatan.

“Kita melihat kemudahan ini perlu kerana ramai pekerja dalam sektor industri serta masyarakat semakin bertambah,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Melayu Rasa, di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses pembinaan seperti kerja tapak sudah dimulakan dan dijangkakan masjid itu siap sepenuhnya, pada Disember 2020.

Katanya, Kerajaan Negeri mementingkan pembangunan seimbang di Selangor dengan aspek kerohanian turut diberikan perhatian.

“Sejak tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri memberikan peruntukan besar kepada Jabatan Agama Islam (JAIS) bagi menbangunkan masjid dan surau bagi tujuan berkenaan,” katanya.


Pengarang :