BERITA UTAMA SELANGOR

RM23 juta pendidikan Selangor, zahir komitmen tinggi tingkat kemudahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Peruntukan RM23 juta disalurkan Kerajaan Negeri bagi pembiayaan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Mubaligh, bagi tempoh 2018 ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, pembiayaan kewangan itu diputuskan selepas mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor, Oktober lalu.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan bebanan kewangan sekolah untuk meningkatkan kemudahan dan infrastruktur tempatan.

“Bantuan ini adalah hasil daripada perancangan yang rapi dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap industri pendidikan.

“Saya ingin menegaskan bahawa bantuan ini adalah sebahagian daripada perancangan Kerajaan Negeri yang komprehensif dan bukan dijelmakan menjelang 9 Mei 2018,” katanya.

9 Mei merujuk kepada hari proses membuang undi rakyat Malaysia bagi menentukan mandat baru pentadbiran Putrajaya.

Mohamed Azmin berkata, bantuan disalurkan kononnya sebagai gula-gula pilihan raya ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ia sebagai komitmen berterusan Kerajaan Selangor meningkatkan nadi pendidikan di negeri itu.

“Pendidikan merupakan nadi kemajuan masyarakat dan satu faktor penting untuk memacu usaha pembasmian kemiskinan.

“Pendidikan juga merupakan teras kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan yang dapat menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru itu, adalah penting untuk anak-anak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, pagi ini.

Dalam perkembangan itu menyaksikan fasa pertama bantuan bernilai RM11 juta diserahkan kepada 221 buah sekolah terlibat seluruh Selangor.

 


Pengarang :