BERITA UTAMANASIONAL

Rombak gaji minimum selaras saranan Bank Negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Kerajaan Persekutuan perlu merombak semula kadar gaji minimum berdasarkan gaji sara hidup dikemukakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, BNM dalam unjurannya mencadangkan supaya garis ukur gaji mengambil kira keselamatan kewangan, standard kehidupan keluarga setanding dengan kos sara hidup dan bukannya hanya aspek asas seperti makanan atau perumahan.

“Laporan tersebut menunjukkan bahawa rakyat negara hidup dalam keadaan miskin dan jurang pendapatan yang semakin tinggi ini disebabkan pendapatan tidak setanding dengan kos sara hidup.

“Rakyat perlu menikmati kekayaan negara pada waktu Malaysia sedang ke arah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Bank Negara sebelum ini mencadangkan supaya RM2,700 menjadi sasaran upah hidup bagi seorang dewasa bujang manakala RM4,500 bagi pasangan tanpa anak manakala RM6,500 untuk pasangan mempunyai dua anak.

Menurutnya, cadangan itu dengan ketara menunjukkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6 peratus tidak dirasai rakyat Malaysia.

Charles berkata, dalam satu perbincangan meja buat yang dipengerusikannya pada 2011 bersama pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja dan aktivis mencadangkan supaya RM1,500 hingga RM2,000 menjadi gaji paras ukur ketika itu.

“Dalam beberapa bulan lagi, Majlis Perundingan Gaji Minimum Negara akan mengumumkan gaji minimum baru.

“Pihak Kerajaan, Pembangkang, kesatuan sekerja dan berkepentingan lain perlu menyambut baik pengesyoran Bank Negara agar kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :