GLOBAL

Rumah ladang terpencil jadi pilihan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB

BACKAKRA, SWEDEN 22 APR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat di sebuah rumah ladang terpencil di selatan Sweden hari ini, dalam percubaan mengatasi perbezaan pendapat mengenai bagaimana untuk menamatkan perang di Syria.

Kebiasaannya, Majlis Keselamatan mengadakan sesi tahunan itu di kawasan mewah di New York, namun untuk kali pertama tahun ini, 15 duta dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dijemput untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi di Backakra, Sweden sebagai bukan ahli tetap majlis itu.

Wakil khas Syria, Staffan de Misture dijangka tiba esok.

“Kita mempunyai perbezaan pendapat besar mengenai Syria. Kita perlu mencari jalan susulan penggunaan senjata kimia yang melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Guterres.

Rumah ladang itu adalah kediaman musim panas, timbalan setiausaha agung PBB, Dag Hammarskjold yang maut dalam satu kemalangan pesawat di Afrika pada 1961.

Ia terletak di tengah-tengah rizab alam semula jadi dan tidak jauh dari Laut Baltik. Rumah ladang itu mempunyai empat bangunan di sekeliling kawasan lapang dan diubahsuai sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu.

Bahagian selatan rumah ladang itu dijadikan kediaman musim panas untuk Swedish Academy yang memberikan anugerah Hadiah Nobel.

“Lokasi ini meletakkan New York dan Damsyik pada jarak ribuan kilometer di antara satu sama lain. Majlis Keselamatan akan mencari jalan untuk mengukuhkan dan menjadikan misi pengaman PBB lebih berkesan,” kata kerajaan Sweden.

“Saya menyambut baik keputusan mengadakan mesyuarat di Sweden yang mempunyai tradisi mencegah dan menyelesaikan konflik,” kata Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tidak meletakkan harapan bahawa isu Syria dapat diselesaikan menjelang hujung minggu ini.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :