BERITA UTAMASELANGOR

Rumah Selangorku agenda utama Kerajaan Negeri untuk rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Kerajaan Negeri menetapkan pembangunan perumahan Selangorku sebagai agenda utama bagi membantu rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia menjadi keutamaan Kerajaan Negeri kerana pemilikan rumah adalah hak asasi setiap rakyat bagi mendapatkannya berserta keadaan perlindungan dan keselesaan.

“Sejak diberi amanah sebagai Dato’ Menteri Besar, saya meletakkan pembangunan rumah Selangorku ini sebagai agenda utama Kerajaan Negeri.

“Pembangunannya adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri supaya setiap rakyat di Selangor berpeluang untuk memiliki kediaman sendiri yang kondusif, mampu dimiliki, selamat dan berkualiti,” katanya dalam majlis pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu dasar pragmatik iaitu dasar pendemokrasian pemilikan rumah bagi memenuhi tujuan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program berkaitan demi memenuhi keperluan rakyat di Selangor.

“Kita harus memastikan program telah mendapat kelulusan (sebelum Dewan Negeri Selangor dibubarkan) harus berjalan dengan lancar supaya akhirnya memberi kemakmuran kepada rakyat,” katanya berhubung projek perumahan Selangorku PKNS itu.


Pengarang :