SELANGOR

Satu lagi kolam tadahan selesai isu banjir

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 30 APR: Isu banjir di Bandar Puteri, di sini bakal diselesaikan dengan pembinaan satu lagi kolam tadahan yang lebih baik.

Terdahulu, calon DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei yang merupakan penyandang kawasan itu pernah membina kolam tadahan, pada 2012 di Bandar Botanik.

Bagaimanapun, kepesatan pembangunan di bandar itu dan kawasan berhampiran (Bukit Tinggi) menyebabkan sistem saliran terganggu.

“Kolam tadahan yang siap dibina pada 2012 itu pada mulanya tidak dapat berfungsi dengan baik, namun apabila dibaiki ia berfungsi sehingga kini.

“Disebabkan itu, masalah banjir kilat kurang berlaku di Bandar Puteri, namun pembangunan pesat di kawasan sekeliling dengan kewujudan bandar baru seperti Ambang Botanik menyebabkan ia berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berjumpa dengan penduduk di sekitar Bandar Puteri, pada 28 April lalu.

Justeru, Shuhaimi berikrar untuk menyelesaikan masalah itu jika memenangi kerusi DUN berkenaan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Terdahulu, kolam itu siap dibina dengan keluasan 54,784 meter persegi dan mempunyai kapasiti 164,352 meter padu.

Kolam itu bagaimanapun, hanya mampu menampung air banjir untuk ketinggian dua meter sahaja.

Untuk rekod, tiga projek dijalankan Kerajaan Negeri di kawasan Bandar Puteri bagi mengatasi masalah banjir, bermula 2016.

Tiga projek itu adalah projek tebatan banjir di Sungai Aur fasa 5 yang menelan kos RM10.3 juta membabitkan kerja menaik taraf sistem saliran utama Sungai Aur menggunakan konkrit u-block dan membina jambatan Medium Traffic Bridge (MBM).

Kedua, membina Kolam Takungan Banjir di Taman Sentosa dan menarik taraf kolam takungan sedia ada di Bandar Puteri dengan kos RM3.3 juta.

Ketiga, menarik taraf sistem saliran di Taman Sentosa dengan kos RM6.325 juta membabitkan kerja naik taraf saliran sedia ada di Jalan Dato Yusuf Shahbudin, Jalan Raja Nong dan Jalan Dato Dagang 6.


Pengarang :