SELANGORSUKANKINI

Selangor Cyber Games 2018 tawar hadiah lebih lumayan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 APR: Kerajaan Negeri akan menawarkan hadiah lebih lumayan dalam acara Selangor Cyber Games 2018 yang bakal diadakan Ogos, depan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari berkata, acara tahunan itu juga akan membuka lebih ramai penyertaan dari pelusuk negara.

Katanya, program terbabit diteruskan selepas mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

“Menerusi penganjuran itu juga, kita melahirkan pemain profesional hingga ke peringkat dunia.

“Kerajaan Negeri menghargai dan bersama membantu penggemar E Sukan untuk mengetengahkan bakat mereka.

“Kita juga menghargai golongan ini, sekali gus mereka ini dapat mengisi masa mereka disamping menawarkan hadiah lumayan,” katanya kepada Selangorkini selepas merasmikan Selangor Mobile Legend, di SACC Mall, di sini.

Tahun lalu, Selangor Cyber Games berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya, pada 12 dan 13 Ogos dengan mempertaruhkan hadiah keseluruhan RM180,000.

Ia mengumpulkan peserta dari seluruh negara yang turut dianjurkan penggerak belia tempatan dan pihak swasta antaranya Garena Malaysia, Digi, Mineski Events Team, Big Machinez, Legion, Logitech serta Time Fibre Optic Communications.

E-Sukan adalah permainan sukan atas talian yang cenderung melibatkan penyertaan golongan belia berumur 25 tahun, ke bawah.

Dalam beberapa tahun ini, perkembangan E-Sukan dilihat semakin berkembang pesat dengan pengajurannya acara The Legends Circuit, Malaysia Cyber Games, Selangor Cyber Games dan ESL Genting.

Ia mencapai populasi daripada 100 juta pemain di seluruh dunia, dengan jumlah hadiah kejohanan antarabangsa yang mencecah sehingga berjuta ringgit, lapor Stadium Astro.

=EZY=

 


Pengarang :